Tangguh AES - Awang Selamat, Utusan MalaysiaGELOMBANG mahukan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan makin kuat. Selepas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengambil pendirian tersebut, Pergerakan Pemuda UMNO dan beberapa NGO pengguna membuat gesaan yang sama.
Menurut ketuanya, Khairy Jamaluddin, pelaksanaan sistem itu perlu dikaji semula bagi memastikan ia berfungsi dengan baik dalam usaha mengesan pesalah trafik. Sistem AES beroperasi sejak September lalu bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini. Ia dikendalikan oleh syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab selama lima tahun. Bagaimanapun, menurut Pemuda UMNO, banyak maklum balas diterima mendapati banyak kelemahan pada pelaksanaan AES antaranya lokasi dan had laju praktikal sesebuah lokasi.
Persoalannya apakah keputusan kerajaan nanti? Setakat ini, Kementerian Pengangkutan tetap mahu meneruskan pelaksanaannya sambil meminta tempoh sehingga enam bulan bagi memastikan keberkesanan AES. Awang yakin kerajaan mampu menangani isu tersebut. Suara dan kepentingan rakyat pasti menjadi pertimbangan utama. Sudah beberapa keputusan besar sebelum ini, dikaji semula dan disambut lega serta positif oleh rakyat.
Sebagai pengguna, Awang juga lebih cenderung untuk melihat pelaksanaan AES ditangguh demi kebaikan semua. Lagipun masanya sangat tidak kena.
No comments:
Post a Comment